Powered By Blogger

Monday, May 28, 2012

PKR ‘mainkan’ kaum India — Zulkifli Jalil

Posted by Unknown 6:15 PM, under | No comments

29 MEI — Barisan Bersatu Nambikai, sebuah NGO yang memperjuangkan nasib kaum India di Selangor sudah jenuh menilai rentak Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu.
Kata Presidennya, B. Kalai Vanar, sikap Ketua Umum parti itu, Anwar Ibrahim lagi pelik.
Ketika berjumpa dengan kaum India, Anwar akan menyanyikan lagu-lagu dendangan hero tamil India, MGR (MG Ramachandran). Tetapi tidak ada satu pun agenda yang kukuh dibentang atau dibangkitkan untuk faedah kaum India. Inti-inti untuk memajukan kaum India “jauh panggang dari api”.
Apa yang boleh dianalisis oleh Kalai sendiri dari pemerintahan PKR di negeri terkaya di Malaysia itu, kata beliau kepada penulis, hanyalah bibit-bibit yang merencatkan lagi usaha-usaha membangunkan anak-anak kaum India.
Kalai menarik perhatian mengenai satu senario sedih di bandar Kinrara, Puchong dan Klang termasuk Pandamaran. Di Kinrara, Kalai dan rakan-rakannya merakamkan kejadian di sederet bangunan dekat sebuah kopitiam di situ. Apa yang disaksikan begitu memeranjatkan. Pelajar sekolah tingkatan 5 berkeliaran memasuki rumah-rumah urut yang berderet di situ.
“China dolls” dan kegiatan maksiat terang-terang beroperasi dan pelanggannya bukan setakat dewasa tetapi pelajar sekolah. Setelah diselidiki, rupa-rupanya caj yang dikenakan untuk melanggan pelacur cuma RM30 seorang.
“Di Selangor sekarang, bukan setakat rumah-rumah urut, kedai-kedai jual arak dan judi haram pun sangat berleluasa.
“Bukan sahaja yang berlesen, yang tidak berlesen lagi banyak. NGO saya membuat tinjauan dan ‘recording’, kami tweet ke jabatan-jabatan berkenaan. Kami tanyakan dan minta penjelasan daripada Exco-exco kerajaan negeri, Ronnie Liu (portfolio Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan) dan Teresa Kok (ADUN Kinrara) tapi malangnya tak ada jawapan.
“Kegiatan judi-judi haram menggunakan mesin komputer bukan setakat bertebaran di Puchong sekarang tapi seluruh Selangor,” dedah Kalai ketika ditemui malam Ahad lalu.
Kalai dan Barisan Bersatu Nambikai sedih. Katanya, pelajar sekolah yang baru hendak mengenal hidup tidak patut dibabit sama dalam kegiatan pelacuran.
Sebelum 2008, menurut pemantauan Barisan Bersatu Nambikai, jenayah kurang di Selangor. Tetapi selepas itu, begitu banyak aduan jenayah diterima pihaknya. Antaranya, kes-kes ragut, samun dan pembunuhan membabitkan kaum India.
Sedangkan, kata Kalai, waktu Selangor di bawah Barisan Nasional (BN), banyak aktiviti program motivasi dilangsungkan termasuk untuk anak-anak kaum India. Cuma sekarang, semua ini tidak lagi dirasai. Yang ada hanyalah kerja-kerja menghasut dan mencabar undang-undang negara oleh pihak tertentu.
“Kalau Teresa Kok, Gobind Singh Deo (Ahli Parlimen Puchong) nakkan bukti, kami ada. Sudah banyak kali saya cabar mereka dan kalau nak cabar saya dalam mahkamah pun saya sanggup, tapi dia beranikah?,” kata beliau.
Baru-baru ini, kata Kalai, di Kampung Bunga Raya, Batu 14, Puchong, penduduknya mengadakan demonstrasi membantah kerja-kerja membina projek kondominium di situ. Oleh kerana projek berkenaan hanya bersebelahan dengan deretan rumah, penghuni mengadu dinding rumah retak. Kerja projek yang bermula 8 pagi sepatutnya berhenti pukul 6 petang, berlarutan sehingga malam. Anak-anak hendak menelaah pelajaran, terganggu. Dikatakan dua orang yang meninggal dunia baru-baru ini dikaitkan dengan serangan jantung kesan “impak” kerja projek. Sudah dilaporkan kepada ahli majlis dan Gobind Singh sendiri tapi tak ada perkembangan memuaskan setakat ini.
Kata Kalai, banyak insiden yang merugikan kaum India berlaku di Selangor.
“Yang menjadi buah mulut dalam kalangan kaum India ketika ini adalah isu pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midlands dekat i-City, Seksyen 7, Shah Alam.
“Di bawah kerajaan BN dahulu, diperuntukkan tapak sekolah dalam kawasan i-City tapi apabila pakatan pembangkang ambil alih negeri, tapak itu diberi kepada pemaju. Sekolah dibina oleh pemaju tetapi bukan lagi di tapak asal yang dikatakan bernilai RM13 juta. Juga, kerajaan negeri tak keluar sesen pun untuk pembinaan sekolah,” kata Kalai.
Tambah mengejutkan lagi, dakwa Kalai ialah “hanky panky” yang berlaku selepas sekolah beroperasi. Di sekolah Tamil Midlands didirikan sebuah dewan yang canggih. Tetapi urusan penyewaan dewan tidak diletakkan di bawah pentadbiran PIBG sekolah.
Sebaliknya diswasta serta diuruskan oleh individu. Dewan sekolah tapi bukan kepunyaan sekolah. Kadar sewa dewan pula bukannya murah seperti Dewan Hamzah, Klang, tetapi antara RM11,000 hingga RM14,000. Lebih menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ibu bapa kaum India ialah kenapa dinamakan dewan berkenaan dengan nama individu tertentu.
“Itulah yang berlaku, PIBG sekolah tidak boleh campur tangan dalam urusan dewan yang kami fikir dikendalikan oleh dua orang ahli majlis.
“Kami kaum India sudah muak dengan penipuan ini. Kira-kira 700 orang dari NGO telah mengadakan demonstrasi mengenai isu ini dan mahu Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) jawab... tapi setakat ini tempoh dua minggu yang diberikan sudah berlalu, kami masih menunggu,” katanya.
Kalai bersetuju dengan kenyataan Presiden Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF), Datuk M. Sambanthan bahawa masyarakat India tidak seharusnya tertipu dengan agenda pihak tertentu yang berusaha meracuni pemikiran mereka dengan menimbulkan dakwaan tidak benar.
“Memang kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib (Razak) kini menjuarai peranan dalam menjaga sosioekonomi, pelajaran dan pelbagai sektor pekerjaan kaum India.
“Tiada kerajaan yang lebih prihatin terhadap masyarakat kaum India selain BN,” katanya sambil memetik ungkapan Sambanthan.
Di akhir temu bual kami, Kalai mengingatkan kaum India: “Anwar, PKR dan DAP ini akan sentiasa bercakap lain apabila berada di depan anda, begitu juga di depan orang Cina, dia cakap lain, di depan orang Melayu cakap lain pula.” — Utusan Malaysia
* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment