WAWANCARA
Penulis wanita Kanada, Irshad Manji mempertahankan pendiriannya selama
ini yang percaya Islam tidak mendiskriminasi golongan gay dan lesbian.
Menurutnya, Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa setiap manusia adalah
ciptaan Tuhan dan ia termasuklah golongan tersebut.
Tambahnya, konsep
kononnya Islam menolak dan membenci golongan itu sama sekali tidak
selari dengan konsep Allah sebagai Tuhan yang Maha Penyayang.
"Kembali
kepada Al-Quran, setiap orang adalah ciptaan Tuhan. Malahan gay dan
lesbian juga dicipta Tuhan. Tolong jelaskan kepada saya," kata Irshad
dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.
Kedatangan
Irshad ke Malaysia mengundang kontroversi apabila Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menggesa jabatan agama
Islam setiap negeri menghalang sebarang program beliau.
Pandangan Jamil Khir disokong Pemuda PAS yang turut membuat seruan yang sama.
Jamil
Khir juga menggesa agar buku terbaru Irshad yang diterjemah dengan
judul Allah, Kebebasan dan Cinta diharamkan pengedarannya atas alasan
"bukunya merbahaya kepada umat Islam".
Selain
daripada membela golongan gay dan lesbian, Irshad turut dikenali ramai
kerana menyokong perkahwinan antara individu Muslim dengan individu
berlainan agama tanpa perlu menukar agama masing-masing.
Mengulas
perkara itu, Irshad berkata ia dirumuskan berdasarkan interpretasinya
terhadap Al-Quran dan juga ijtihad yang dilakukannya.
Beliau
percaya perkahwinan sedemikian dapat menghentikan golongan muda Islam
daripada meninggalkan Islam semata-mata kerana cinta.
Tegasnya, beliau tidak perlu meminta maaf kepada sesiapa hanya kerana berbeza pendapat dengan orang lain dalam perkara tersebut.
"Mungkin
saya perlu minta keampunan dari Tuhan pada hari pengadilan dan Tuhan
yang penuh dengan kasih sayang pastinya akan memberikan saya perbicaraan
yang adil," katanya.
Menurutnya
lagi, pendirian itu turut disokong seorang imam dan didokumenkan di
laman webnya. Sehingga kini, dokumen itu diterjemah ke dalam lebih 20
bahasa termasuklah bahasa Melayu, ujar Irshad.
Imam
yang dimaksudkan adalah Dr Khaleel Mohamed yang memiliki ijazah doktor
falsafah dalam perundangan Islam dari McGill University.
Sebelum hadir ke Malaysia, Irshad terlebih dahulu singgah di Jakarta untuk mempromosikan bukunya di sana.
Beliau
dilaporkan diancam beberapa ratus orang golongan pelampau yang menerjah
programnya di pusat kebudayaan Salihara di selatan Jakarta dan cuba
mengasarinya.
Mengulas
perkara ini, Irshad kesal apabila ketua polis bandar tempat programnya
berlangsung menghebahkan lokasi hotel beliau menginap melalui Twitter
dan mendedahkannya kepada ancaman keselamatan dari golongan pelampau
agama.
"'Kerjasama
di antara kumpulan pelampau seperti Front Pembela Islam dan polis ini
mengejutkan dan memalukan dan ia perlu diberi perhatian daripada segi
rekod hak asasi di Indonesia," kata Irshad.
Namun,
keberanian yang ditunjukkan hadirin programnya yang tidak berganjak
sewaktu serangan berlaku menguatkan semangatnya untuk menubuhkan
cawangan Projek Keberanian Moral di Indonesia, ujarnya.
Projek
Keberanian Moral adalah sebahagian daripada program kepimpinan yang
digagaskan Irshad di Robert F Wagner Graduate School of Public Service,
New York University (NYU) tempat beliau memberi kuliah sekarang.
Bercerita
tentang buku terbarunya, Irshad percaya ia akan diterima golongan muda
di Malaysia berdasarkan sebahagian besar maklum balas memberangsangkan
melalui laman Twitter.
Secara
berjenaka, beliau berharap agar bukunya itu dibaca orang ramai sebelum
ia diharamkan pengedarannya seperti buku sebelum ini, The Trouble with
Islam Today: A Muslim's Call for Reform in Her Faith.
"Buku
ini bukan sahaja dipenuhi hujah tetapi ia memberikan anda 'perkakas'
untuk belajar dan memulakan perjalanan ke arah integriti.
"Saya rasa buku ini sangat diperlukan golongan muda di Malaysia," kata Irshad. (MKINI)
0 comments:
Post a Comment